Monday, February 2, 2009

Inilah Kehidupan

The Zikr - Inilah Kehidupan

Kesenangan yang datang tak akan selamanya
Begitulah selepas susah ada kesenangan
Seperti selepas malam datangnya siang
Oleh itu waktu senang jangan lupa daratan

Gunakan kesempatan untuk kebaikan
Sebelum segalanya terlepas dari genggaman
Kelak menyesal nanti tak berkesudahan
Apa gunanya sesalan hanya menekan jiwa

Jangan difikir derita akan berpanjangan
Kelak akan membawa putus asa pada tuhan
Ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan
Setelah kabus berlalu pasti cerah kembali

Ujian adalah tarbiyyah dari Allah
Apakah kita kan sabar ataupun sebaliknya
Kesenangan yang datang selepas kesusahan
Semuanya adalah nikmat dari tuhan

Setiap kejadian, ada hikmahnya. Begitulah pula pada setiap kesusahan, pasti ada kesenangan :). Lagu ini merupakan salah satu daripada lagu yang sentiasa aku dengar ketika dalam kesusahan dan kesulitan. Betapa selama ini kita lupa bahawa ujian Allah itu pasti datang untuk menduga kita. Tinggal saja kita sabar atau sebaliknya :).

Alhamdulillah, aku telah 'bertemu' dengan lagu ini ketika aku masih kecil lagi. Pertama kali mendengarnya, terus membuat aku 'jatuh cinta' pada liriknya. Setiap bait-baitnya memberikan nasihat yang amat berharga juga mengajar kita untuk sentiasa sabar dalam kehidupan.

Inilah Kehidupan. Tajuknya saja telah memberikan kita satu makna yang mudah difahami. Bagi setiap makhluk, kehidupan itu adalah satu perjalanan yang pasti ditempuh. Dan pada perjalanan ini, akan ada kesusahan dan kesenangan yang disediakan.

Buat semua sahabat, hayatilah lagu ini. Gunakanlah kesempatan yang diberikan untuk mengenal lagu ini. Mungkin anda bukan peminat nasyid, bukan jua seorang yang suka mendengarnya, tetapi berilah jiwa anda satu peluang. Jika lagu-lagu barat itu begitu mudah memasuki jiwamu, apalah salahnya jika kau memberikan peluang buat jiwamu merasai satu kelainan.Masanya telah tiba untuk kita menyedari hakikat kehidupan. Luangkan sedikit dari waktu yang diberikan kepada kita untuk menghayatinya.

Buat mereka yang sentiasa sedih, berdukacita dan buntu dalam kehidupan, janganlah dikau berputus asa. Bangkitlah dari angan-anganmu dan sedarlah bahawa masih begitu banyak perkara yang boleh kau terokai. Betapa indahnya dunia ini jika kau mengerti. Ingatlah bahawa kita bukan gagal, tetapi kita cuma masih belum berjaya. Hayunkanlah kakimu melangkah kehadapan, pasti ada kesenangan sedang menantimu :).

Salam Kehidupan.

No comments: